KUALA TERENGGANU: Portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu akan diumumkan pada Rabu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata senarai berkenaan dipersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum diumumkan pada Mesyuarat Ahli  Majlis Kerajaan Negeri.

Ahmad Samsuri berkata, beberapa perubahan bakal dilakukan dalam portfolio berkenaan berbanding penggal lalu.

“Saya sedang meneliti portfolio-portfolio yang ada sebelum ini dan dalam tempoh hari ini insyaAllah saya akan menyelesaikan beberapa perubahan nama-nama portfolio dengan mengambil kira kewajarannya.

“Termasuklah  supaya ada synchronize kedudukan atau agensi-agensi di peringkat kementerian dan untuk memudahkan pelaksanaan sebarang program-program kerajaan supaya tidak redundant di antara Ahli Majlis Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah pada Selasa.

Terdahulu Ahmad Samsuri mengangkat sumpah pelantikan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut melafaz sumpah jawatan, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk empat muka baharu yang dilantik Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris menjadi  calon tunggal parti berkenaan yang membarisi Exco Kerajaan Negeri Terengganu selepas memenangi DUN Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Sementara itu Ahmad Samsuri juga turut menyarankan barisan exco dan ADUN supaya bersikap terbuka untuk mengkritik kerajaan berikutan tiada pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ini.

Berikut senarai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melafaz sumpah jawatan hari ini:

1. Datuk Satiful Bahari Mamat - ADUN Paka
2. Datuk Razali Idris - ADUN Kijal
3. Dr Azman Ibrahim - ADUN Jabi
4. Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi -ADUN Batu Buruk
5. Wan Sukairi Wan Abdullah - ADUN Wakaf Mempelam
6. Hishamuddin Abdul Karim - ADUN Tepoh
7. Ariffin Deraman - ADUN Alor Limbat
8. Maliaman Kassim - ADUN Ajil
9. Hanafiah Mat - ADUN Chukai
10. Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman - ADUN Kota Putera